IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Selasa, 31 Ogos 2010

DARIPADA ALLAH KITA DATANG .........

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Allahyarham Ikhwan Muhammad Asrulniza bin Ishak
(2007 – 2010) yang ana kenal buat Ikhwan Sekalian
_____________________________________________

Pertemuan kali pertama (mengenalinya), bila mana Ikhwan Muhammad Azhar membawa beliau kerumah pada satu malam untuk berjumpa dengan Tuan Guru al Jabir dan Haramain al Haq yang ketika itu bermalam dirumah ana sewaktu Tuan Guru berkunjung ke Malaysia Julai 2007. Turut serta ialah Muhammad Ramli, keduanya adalah sahabat kepada Ikhwan Muhammad Azhar. Jauhnya perjalanan dari kediaman mereka kerumah ana sekitar 40KM dan mengambil masa satu jam perjalanan. Kedua mereka sebenarnya telah menerima perkhabaran gembira kedatangan seorang Utusan Tuhan yang hanya berkalamkan Kalam kalam Tuhan dan mahu mengambil kesempatan untuk bertemua muka, seterusnya untuk mengambil Aku Janji Persaksian dan taslim/berserah diri dihadapan Tuan Guru.

“Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada Kitab yang Engkau turunkan dan kami ikut Rasul itu, maka tuliskanlah kami bersama orang orang yang syahadat (mengakui bahawa Allah itu Esa dan Rasul itu benar) [3:53]

Demikianlah Allah mempermudahkan kepada hambaNya yang mahu beriman. Tulisan ini adalah khusus berkenaan Ikhwan Muhammad Asrulniza, beliau adalah dikalangan yang awal berserah diri dan dapat mengenali Utusan Tuhan yang didatangkan. Bermula dari itu beliau telah membuktikan bahawa jiwa dan raganya tidak pernah melupakan Kepimpinan dan Ikhwan, dimana disetiap peristiwa susah dan senang beliau tetap bersama jemaah. Beliau turut bersama sama didalam tangkapan beramai ramai oleh Jabatan Agama pada 16 November 2008 atas tuduhan mengamalkan ajaran sesat dan mengajar tanpa tauliah! Tanpa sedikit keraguan mahu pun kebimbangan terhadap Kepimpinan dan kebenaran Kalam Tuhan, beliau tidak pernah berganjak apa lagi untuk bersikap berolok olok didalam penyampaian Ayat ayat Tuhan. Sesungguhnya dibawah beliau telah melahirkan ramai ‘anak jiwa’ yang berkualiti memikul amanah. Beliau sangat tegas apabila membicarakan Kalam Tuhan dan tidak pernah mengaku kalah dalam perjuangan. Isteri dan anaknya tidak dikecualikan. Teringin disebut disini bahawa dikalangan Ikhwan beliau mesra dipanggil sebagai Chilun, kerana itulah panggilan mesra dikalangan sahabat handai dikampongnya di Alor Setar, Kedah. Pada suatu hari, dua tahun lepas beliau membuat panggilan talipon dihadapan ana, barangkali kepada seorang sahabat lamanya tetapi tidak dapat mengenalinya sehinggalah beliau membahasakan namanya sebagai Chilun itu. Dengan itu mulalah nama itu turut menjadi panggilan dikalangan Ikhwan. Mengikut ceritanya nama tersebut adalah sebutan bahasa Siam (Thailand) yang berhubungkait dengan keturunan disebelah Siamnya. Kedah adalah hampir kedudukannya dengan Siam. Beliau tidak sedikit pun marah dengan panggilan tersebut! Sesungguhnya kehidupan beliau tidaklah semewah mana dengan ekonomi yang kerap kali ditahap kritikal pada pandangan umum; termasuk tahap kesihatannya yang beberapa kali terpaksa ‘berehat’ dihospital, disamping itu beliau punya keluarga yang besar (dua isteri!) namun beliau tidak pernah berputus asa dari rahmat Allah SWT. Segala baginya adalah perujian dari Allah SWT keatas hambaNya yang telah mengaku taat dan beriman.

“Adakah manusia itu menjangka bahawa mereka akan dibiarkan sahaja berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum mendapat cubaan (ujian)? [29:2]

Sesungguhnya hubungan siratulrahmi yang sangat baik sesama Ikhwan, bukanlah hanya beliau semata mengharapkan bantuan malahan beliau sedikit pun tidak bersifat bakhil menghulurkan bantuan kepada Ikhwan yang didalam keesempitan! Peristiwa dua minggu sebelum berpulangnya keramahtullah sangat meninggalkan kesan mendalam kepada diri ana, bila mana beliau bersedia membantu ana yang kesempitan kewangan. ‘Ambik je, aku bukan nak guna duit pun lagi!’ katanya apabila ana ragu untuk menerima wang yang dihulurkannya. Menceritakan pertemuan kali terakhir ana dengannya ialah pada hari beliau dijemput pulang oleh Allah SWT. Seperti ‘pendopo’ kepada Ikhwan di Indonesia, kami menyewa rumah ditepi Surau Zainal Abidin sebagai markas yang disebut ‘Rumah Surau @ Rumah Ikhwan’ dikalangan Ikhwan seluruh Malaysia. Rumah tersebut dijadikan sebagai tempat berwasiat, pertemuan, persinggahan dan berehat dikalangan Ikhwan tanpa mengira waktu. Tuan Guru al Jabir dan al Haq pernah tinggal dirumah tersebut sewaktu berkunjung dahulu. Tanpa rencana persinggahan ana dirumah surau pada 27 Ogos 2010 tersebut rupanya turut pula didatangi oleh Ikhwan Hj Nayan, Azhar, Amir dan Chilun sendiri. Sudah pasti pembicaraan diantara kami tidak lainnya hanyalah Kalam kalam Tuhan. Kami merujuk kepada kiriman Ikhwan Eko dari HIMPASS didalam Facebook berkenaan amanat Tuan Guru al Jabir berkenaan ‘Siapa Israil Itu?’ Kami mengkisahkan QS 2:40&47, dimana Allah SWT menyebutkan Nabi Yaaqub bin Ismail bin Ibrahim itu adalah Israil. Barangsiapa yang menghina Kekasih Kekasih Tuhan sesungguhnya mencampakkan diri sendiri kelembah kehinaan dan kebinasaan. Kami memperolehi pelajaran dan memahami dari Kalam Tuhan oleh Tuan Guru yang tersebut. Kamilah anak cucu dan pengikut Israil itu! Menjelang 5.00 petang, kami bersurai dengan peringatan bahawa malam ini adalah malam jemaah/wasiat dirumah surau. Chilun bersama Amir selaku rakan niaga keluar bersama menemui client mereka. ana pun balik kerumah dikampong yang jauhnya 40KM kerana urusan awal untuk mengambil anak (bang Chik) diasrama Sekolah Agama Maahad al Ummah dibatalkan kerana hanya boleh diambil esok atas arahan pihak pentadbiran sekolah. ana tidak menghadiri majlis wasiat dirumah surau malam itu. Lebih kurang jam 9.45 malam ana terima talipon daripada Hj Nayan dan SMS daripada Ikhwan Muhammad Roshaizi mengatakan Chilun pengsan didalam kereta dirumah surau dan dibawa kehospital. Sehinggalah pada jam 10.30 malam itu, Mak Shena (Isteri Imam Muhammad Radzi) menalipon memberitahu Chilun sudah pun berpulang kerahmatullah ….. ana bersegera bersiap untuk kehospital berserta dengan isteri, Siti Mardiyyah dan abang Cho (anak). Chilun berpulang diwaktu berusia 42 tahun. Berikut cerita dari Imam Muhammad Radzi perihal saat saat berpulangnya Arwah Chilun; laungan Amir mengatakan Chilun pengsan membuatkan Imam yang pada ketika berada dimajlis wasiat segera mendapatkan Chilun didalam kereta dan memangku kepala beliau. Berkesempatan Imam mengingatkan Aku Janji Persaksian dan diketika itulah Chilun menggengam sekuatnya tangan Imam dan menghembuskan nafasnya yang terakhir! Bagi menepati prosedur, jenazah dibawa juga kehospital untuk pengesahan. Betapa Allah memberikan tanda tanda dariNya bahawa kita ini sesungguhnya berada dijalan yang lurus! Janji Allah SWT sangat benar dan siapakah yang paling menunaikan janji selain Allah; sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjinya. ‘Taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasulullah dan Pemimpin dikalangan kamu ….’ Untuk kepada Allah mestilah melalui Rasul dan untuk kepada Rasul mestilah melalui Pemimpin! Betapa kemurnian dan bersihnya kepulangan Chilun kerahmatullah dibulan Ramadhan al Mubarak, apabila dimalam turunnya al Quran nulKareem iaitu Nuzul al Quran, malam Jumaat, malam berwasiat, dipangkuan Pemimpinnya dan disamping Ikhwannya! Betapalah beliau juga mahu menghembuskan nafas terakhirnya dipangkuan Imam Radzi yang dijadualkan keesokan harinya akan berangkat berziarah ke Medan untuk menemui Tuan Guru al Jabir! Saudara saudaranya yang menguruskan jenazah; memandi, mengkafan dan menyembahyangkan (walaupun kepada pandangan umum ianya dikepalai oleh seorang petugas resmi pihak hospital sebagai satu prosedur pihak pemerintah) Jenazah kelihatan tenang, lembut dan berseri seri sebagai dipermudahkan oleh Allah SWT segala keatasnya. Begitulah perjalanan terakhir, sehinggalah diputuskan oleh keluarganya untuk disemadikan dikampong halaman Alor Janggus, Alor Setar, Kedah Darul Aman, kira kira 300KM dari hospital. Urusan perbelanjaan dan perjalanan berkereta jenazah berjalan lancar sehinggalah tiba dikampong halaman dan disemadikan sekitar 11.30 pagi hari Jumaat. Hj Nayan dan ana sendiri diantara Ikhwan yang ikut serta mengiringi jenazah disemadikan dibawah pohon yang begitu rending, teduh dan kelihatan aman sekali. Tidak ada satu kubur lain pun dibawah pohon tersebut selain daripada pusaranya. Sehubungan itu, marilah kita semuanya merelakan kepulangan Allahyarham Chilun kerahmahtullah dengan seikhlasnya. Sesungguhnya tiada sebarang kesalahan dan kesilapan beliau kepada Ikhwan, halalkan segala makan dan minum sewaktu bersama serta tiada tuntutan hutang piutang lagi terhadapnya. Marilah kita bersama sama membantu kepada setiap keperluan keluarga yang ditinggalkan. Balu pertama punya anak yang bersekolah diusia 10 tahun dan balu kedua punya anak kecil 2 tahun dan sedang dalam kehamilan 7 bulan.

Bacakanlah al Fatihah, hadiahkanlah jiwa pahalanya kepada Allahyarham Ikhwan Muhammad Asrulniza @ Chilun, mudah mudahan bertambah jua kasih sayang Allah SWT keatasnya. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita dikembalikan. Amin amin amin ya mujibasa ilin ya Robbal’alamin. Wassalam daripada ayahIssa