IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Rabu, 23 Februari 2011

MENDIRIKAN MASJID

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


“Tiada berhak orang orang musyrik memakmurkan masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi diatas dirinya dengan kekafiran. Mereka itu hapuslah sekalian amalannya, dan didalam neraka mereka kekal selama lamanya” {9:17}


Sesebuah masjid itu disebut sebagai ‘Rumah Allah’ supaya menjuruskan seluruh ummat itu bersatu didalam mentauhidkan Allah SWT selaku Tuhan yang Esa secara berjemaah. Sesungguhnya ummat hanya pasti dapat bersatu dan menjadi kuat apabila berada dibawah satu bumbung menjalankan segala perintah dan suruhan disamping menjauhi dan meninggalkan larangan Tuhan. Sedemikian itu disebut berjemaah.


Kita membicarakan ‘masjid dan berjemaah’ itu secara yang sebenar mengikut tuntunan dan tuntutan Allah SWT. Masjid bukan semata untuk tempat bersholat secara berjemaah namun adalah juga sebagai tapak bermula berjihad bagi setiap ummat untuk terus mengumandangkan syiar agama sehingga akhirat dengan menegakkan Kalimat kalimat Tuhan. Bermula dari individu perseorangan yang sebagai Imam (Pemimpin) beserta dengan setiap jemaahnya sewajarnya berdiri sebagai seseorang yang Islamik terlebih dahulu keperibadiannya, maka dengan sendirinya masjid menjadi sebagai lambang keIslaman diri dan kariah setempat berkenaan. Imam yakni Pemimpin yang sebenarnya akan membawa jemaah kepada agama yang mencakupi setiap aspek kehidupan, dan bukanlah sekadar mengimamkan sholat kepada orang yang akan mati mahupun kepada orang yang sudah mati!


Seandainya seseorang Imam itu sekadar memimpin sholat, maka pintu masjid akan dibuka pada setiap waktu sholat dan akan dikunci semula setelah sholat berakhir. Sesungguhnya apa yang berlaku seperti dihari ini, sesebuah masjid itu ditadbir oleh sekumpulan (kelompok) mereka yang bukan kerana keagamaanya tetapi kerana ideologi akal fikir dan rasa rasa tertentu sehinggakan kedudukkan Imam sholat dan jemaah berada dibawah kuasa mereka. Perlantikkan Imam, Muaazin dan Siak ditentukan pemikiran kumpulan tersebut dimana Pegawai Masjid yang dilantik mestilah sealiran dengan pihak pentadbir tersebut. Imam sekadar bertuga memimpin sholat setiap waktu, maka setiap bulan Imam akan mendapat bayaran elaun yang tepat pada waktunya.


Urusan jihad menegakkan Kalimat kalimat Tuhan seperti tuntuta Allah SWT tidak pernah bermula jika masjid dibawah urus tadbir mereka yang hanya memandangnya sebagai tempat bersholat semata. Oleh yang demikian itu maka syiar agama menjadi malap dan kian kabur, sebarang aktiviti walau pun semestinya berbentuk keagamaan tetapi wajar menepati garis panduan ideologi kumpulan terlebih dahulu. Mereka disebut oleh Allah SWT sebagai orang yang musyrik dan tidak berhak keatas rumahNya. Untuk memulakan urus tadbir segala aspek kehidupan itu wajib mengikut ketetepan Allah SWT, maka pengurusan pentadbiran bangunan masjid itu sudah semestinyalah mengikut perlembagaan Allah SWT iaitu al Quran nulKareem, Kitabullah.


Walau pun sekarang terdapat anjuran kuliah, usrah, tazkirah atau pun ceramah perdana didadakan dimasjid, perlu diingatkan bahawa kesilapan dan kesalahan pihak pentadbiran hendaklah jangan disentuh sesuka hati. Pernah berlaku, seorang ustaz diberhentikan ceramahnya malahan disenarai hitamkan kerana menegur kepincangan pemegang kuasa walau teguran tersebut kerana tindak tanduk penguasa yang melanggar perintah Allah SWT. Tindakan mereka hanyalah semata mata mahu mempertahankan kekuasaan yang ada dalam apa bentuk sekali pun. Perkara ini berlaku kerana meletakkan urusan agama termasuk masjid berada dibawah satu kuasa lain adalah tidak sepatutnya berlaku kerana sebenarnya kedudukkan agama termasuk masjid itu terletak ditempat yang paling atas bagi menguasai dan mentadbir segala urusan yang lainnya.


Namun tulisan ini tidak menyokong tindakkan penceramah penceramah (ramai bilangannya!) yang bersikap mengambil kesempatan menjadikan masjid dan agama sebagai alat semata mata untuk menegakan dasar dan cita cita ideology mereka. InsyaAllah, kita bicara dilain kali.


“Hanya yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari yang kemudian serta yang mendirikan sholat dan mengeluarkan zakat, sedang ia tiada takut melainkan kepada Allah. Maka mudah mudahan mereka itu termasuk orang orang yang mendapat petunjuk” {9:18}


Allah SWT menuntut bahawasanya setiap seseorang itu beriman kepadaNya dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya dan menginfakkan sebahagaian dari rezekinya untuk perkara kebajikan, termasukklah untuk mendirikan sebuah masjid dan memakmurkannya.


Sesungguhnya adalah sifat sangat murni bagi seseorang itu mahu pun sebahagian ummat kariah apabila melahirkan hasrat untuk mendirikan rumah Allah itu dan sikap yang terpuji bagi keseluruhan ummat setempat agar terlibat bagi perlaksanaan sehingga terdirinya bangunan sesebuah masjid. Namun bukanlah sebagai lambang Islamiknya seseorang itu mahu pun sesebuah kariah itu dengan adanya sebuah bangunan masjid yang indah dan cantik untuk bersholat jemaah, namun selain daripada itu segala urusan kehidupan terkeluar dari tuntunan dan tuntutan perundangan dan daripada hukum hukum Allah SWT. Sewajarnya titik permulaan perancangan pembinaan sebuah masjid termasuk memikirkan pengisian untuk memakmurkan bangunan tersebut buat selamanya untuk diteruskan oleh generasi akan datang untuk diwarisi.


“Dan (diantara orang orang munafik itu) ada mendirikan masjid untuk menimbulkan bencana, untuk kekafiran dan untuk memecah belah diantara orang orang yang beriman serta untuk menunggu kedatangan orang orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka dengan pasti bersumpah ‘Kami hanya menghendaki kebaikkan’. Dan Allah menjadi saksi bahawa mereka itu pendusta (didalam sumpahnya)” {9:107}


Perpecahan dikalangan ummat itu sering berlaku didalam urusan agama serta ianya bermula daripada pengurusan hal hal agama itu sendiri. Agama dijadikan alat oleh segolongannya; dan segolongan yang lain pula menyempitkan fahaman agama itu sekadar ibadat semata. Kedua dua golongan sebenarnya mempertahankan kepentingan pribadi melalui akal fikir dan rasa rasa semata tetapi mengatakan itu adalah agama. Sedemikian itulah kedudukkan masjid dijadikan sebilangan ummat yang kononnya tahu perihal agama dan ditugas sebagai penjaga agama itu. Akhirnya terdapat masjid yang mewakili golongan ideologi tertentu yang tidak pula dapat diterima satu golongan lain. Sehubungan itu, maka pihak berkuasa akan mengambil alih pentadbiran, sekiranya tidak maka peruntukkan pembangunan masjid tidak akan diluluskan.


Perpecahan ini semakin nyata sehinggakan berlaku dua golongan sholat jemaah secara berasingan didalam satu masjid disatu masa yang sama! Masing masing mempertahankan ideologi sehingga timbul kafir mengkafirkan sesama ummah. Perbalahan dan perpecahan ini berlaku kerana pemimpin pemimpin sebenarnya tidak mengembalikan urusan mengikut kehendak Allah SWT. Tuhan tidak diutamakan dan al Quran tidak didahulukan!


“Janganlah engkau melaksanakan sholat didalam masjid itu selama lamanya. Sungguh masjid yang didirikan atas dasar taqwa sejak pada hari pertama adalah lebih baik engkau melaksanakan sholat didalamnya. Didalamnya terdapat orang orang yang ingin membersihkan diri. Allah menyukai orang orang yang bersih” {9:108}


Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan bahawa pembinaan sesebuah masjid itu adalah diatas dasar ketaqwaan kepadaNya. Jelasnya, ketaqwaan yang dituntut kepada Tuhan adalah mencakupi segala urusan aspek kehidupan dan tentulah bukan ideologi, akal fikir dan rasa rasa didalam hati iaitu menyempitkan agama dan atau pun agama itu diperalatkan semata mata. Masjid sebenarnya membentuk seluruh ummat itu bersatu sehingga melewati dan mencakupi segala aspek kehidupan manusia itu sendiri walau dimana mahu pun diketika bila pun. Sesungguhnya kebanyakkan manusia itu mengada adakan iman didalam dada, mengujudkan ketaqwaan kepada Allah SWT dan mengagamakan masjid kariahnya apabila memegang kuasa tadbir bangunan tersebut. Apabila sudah tiada lagi namanya tersenarai, maka dia bersama segelintir pengikut tidak lagi hadir bersholat jemaah dimasjid itu. Paling hebat lagi apabila mereka merencana pula untuk mendirikan sebuah masjid baru didalam kariah yang sama kononnnya untuk mentauhidkan Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa!


“Maka apakah orang orang yang mendirikan masjid atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaanNya itu lebih baik, atau orang orang yang mendirikan masjid ditepi jurang yang runtuh lalu roboh bersama samanya kedalam neraka jahanam? Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang orang yang zalim. Bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi penyebab keraguan didalam hati mereka, hingga hati mereka hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” {9:109&110}


Sesungguhnya ketaqwaan kepada Allah SWT itu hanyalah dengan dengan manusia itu kembali kepada tuntunan dan tuntutanNya iaitu al Quran nulKareem, Kitabullah. Selain daripada itu hanyalah ideologi, akal fikir dan rasa rasa yang diada adakan, maka sia sialah segala pekerjaan dan perbuatan itu meski pun kamu telah mendirikan sebuah bangunan yang besar serta cantik yang disebut sebagai masjid.


Sabda Nabi SAW ‘Sesungguhnya perkahwinan itu adalah seperti membina sebuah masjid’, maka persoalannya sekarang ialah ‘bangunan masjid dimanakah, siapakah Imam dan Jemaahnya yang telah makmur, dimakmurkan dan memakmurkan?’


“Yaa aiyuhallazinaamanu, Ittaqullah haq qotuqotihi walatamutuna illa waantum muslimun” Wassalammu’alaikum.

Rabu, 16 Februari 2011

ULAMA SEBAGAI KERJAYA



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

“Dan tinggalkanlah orang orang yang menjadikan agama mereka sebagai main main dan senda gurau, dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan al Quran itu agar masing masing diri tidak dijerumuskan kedalam neraka, kerana perbuatannya sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak pula pemberi syafaat selain daripada Allah. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusan pun, nescaya tidak akan diterima itu daripadanya. Mereka itulah orang orang yang dijerumuskan kedalam neraka. Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu” {6:70}

‘Mohonlah kurang sikit alFadil Ustaz, majlis kampong je!’

‘Harga tu udah diskaun sebab ana dalam perjalanan pulang KL pada tarikh tu. Ada ceramah di Kedah dan Penang’

Bincang punya bincang, tetaplah harga untuk seorang Ustaz KL yang agak popular dikaca tv untuk berceramah sempena Maulid Nabi Muhammad SAW sebanyak RM 700.00!

Demikianlah cerita Ketua Kampong yang baru sahaja dilantik kepada ana. Barangkali dia mahu meraikan perlantikanya dengan mengadakan program tersebut yang kebetulan pula serentuk dengan Mauliddurrasul. Menurutnya, Ustaz KL itu pada awalnya meletakan harga untuk berceramah selama 60 minit sebanyak RM 1,200.00! Ketua Kampong mengatakan usahanya untuk menganjurkan ceramah adalah ikhlas kerana Allah dengan mengadakan didalam suasana yang grand daripada yang pernah diadakan. Ustaz KL juga mengatakan beliau ikhlas berjuang untuk menyampaikan ilmu kurniaan Allah SWT kepada manusia walau dimana pelosok dunia pun!

“Maka celakalah orang orang yang menulis Kitab dengan tangan mereka (sendiri) kemudian berkata ‘Ini dari Allah’, (dengan maksud) untuk menjualnya dengan harga murah. Maka celakalah mereka kerana tulisan tangan mereka, dan celakalah mereka kerana apa yang mereka berbuat” {2:79}

Teringat disuatu ketika dahulu, sewaktu ana aktif didalam NGO pernah menganjurkan majlis motivasi yang berunsurkan Islam dengan menjemput seorang pakar motivasi No 1 Malaysia. Discount offer dari pakar tesebut yang sekarang ini sudah bergelar YB Dato ialah RM 3,000.00, penginapan hotel 5 bintang, tiket penerbangan pergi balik, makan minum ditanggung dan pengangkutan Mercedes Benz disediakn untuk kelokasi ceramah yang diadakan disebuah hotel 3 bintang! Tidak banyak manfaat dari ceramahnya, sehingga hari ini ana masih teringat dan terngiang ngiang satu point ucapan Dato Pakar tersebut bila mana menyarankan agar suami isteri itu mandi bersama sama agar rasa kasih sayang itu sentiasa erat dan bertambah setiap masa!

Berbalik kepada kisah Ustaz KL dan Ketua Kampong, duit tak jadi masalah pun sebab berapa banyak pun boleh dapat. Orang orang besar parti sedia memberikan sumbangan, disamping itu boleh buat kutipan derma dari masyarakat kampong lagi pun duit tabung masjid banyak! Planingnya pada majlis tersebut, orang besar parti akan berucap bagi merasmikan majlis dan ditutup dengan jamuan makan, cadang nak tumbangkan sekor lembu! Dalam hati ana berkata, benar sungguh ‘Ceramah dan Makan Perdana!’ Serampang tiga mata, ceramah agama terselit ucap politik dan ada makan besar.

“Dan janganlah kamu campur adukan kebenaran dengan kebathilan dan (jangan) kamu sembunyikan kebenaran itu, sedangkan kamu mengetahui” {2:42}

Sesungguhnya agama itu sudah menjadi kerjaya yang menguntungkan dan sangat lumayan. Pendapatan seorang ‘penceramah bebas’ lebih banyak daripada golongan professional seperti peguam, doktor dan jurutera! Jika bayaran sekali ceramah RM 100.00 X 30 hari = RM 3,000.00 + kalau sehari bermula dengan Kuliah Subuh + untuk kaum Muslimat selalunya selepas Asar (petang) dan + Kuliah Maghrib ??? Bukan sahaja boleh memiliki rumah banglo dan kereta mewah malahan mampu untuk berbini 2, 3 dan 4 sekali gus! Adalah tidak menyalahi golongan Ustaz dan Ulama hidup didalam keadaan kaya raya tetapi bukanlah mengambil kesempatan mengumpul kekayaan dan kemewahan hidup didunia dengan menjual ilmu agamanya.

“Aku tidak meminta upah kepada mu atas ajakan itu, upah ku hanyalah daripada Tuhan seluruh alam” {26:180}

Berikut dinukilkan kisah selepas berlangsungnya Ceramah Perdana tersebut. ‘Program ceramah malam tadi sungguh berjaya dan mendapat sambutan hebat’, demikian statement dikedai kopi esoknya. Ditambah dengan komen nakal oleh seorang pemuda : ‘Makanan tidak mencukupi sehinggakan dikalangan hadirin ada tak dapat makan’. Sari dua agak heboh diperkatakan kejayaan program berkaitan, ada yang memuji muji Ustaz KL yang pandai berceramah sambil berlawak membuatkan penonton berdekah dan terkekeh kekeh ketawa! Disatu dua part Ustaz KL melemparkan maki hamun kepada golongan yang dikatakan mungkar kepada Tuhan. Kepetahan Ustaz membacakan Ayat ayat al Quran sungguh lancar sangat mempersonakan sidang hadirin. Sementara itu orang besar parti didalam ucapanya berkobar kobar untuk merampas kerusi Parlimen dan Adun yang sekarang dimiliki parti lawan dan penonton telah bertepuk gemuruh menyokong, namun sayup kedengaran suara mengeboo apabila dia sendiri sanggup untuk menjadi calon pilihanraya 13 akan datang!

Kebayakan manusia mengukur bahawa sedemikian mengagamakan agama itu. Mereka mengatakan sudah berbuat sesuatu sumbangan terbaik kepada agama. Sesungguhnya agama itu dari sisi Allah SWT, dan sudah cukup sempurna malahan hanyalah Dia yang memeliharanya. Manusia itulah sebenarnya yang dikehendaki mengambil sumbangan daripada agama tersebut untuk keselematan, kesejahteraan dan kebajikan kehidupan didunia hingga keakhirat. Daripada sifat Kasih dan Sayang Allah SWT diturunkan WahyuNya sebagai keterangan keterangan jelas tentang agama yang sebenar benarnya, namun manusia itu sering mengakal akalkan mengikut fikiran dan rasa rasa didalam hatinya. Jelasnya manusia itu telah melampaui batas apabila merasakan dengan ilmunya dan kekuasaan berbuat sesuatu kerja dan claim sebagai amalan terbaik untuk menjaga agama.

“Berkata iblis : Hai Tuhan ku, Demi sebab Engkau menyesatkan aku, akan ku hiaskan kepada mereka (kejahatan yang ada) di bumi, (sehingga mereka pandang baik) dan demi, akan ku sesatkan mereka itu semuanya” {15:39}

Persoalannya, bukan kerana mereka yang mengelarkan diri sendiri mahu pun yang dipanggil Ulama, Ustaz atau pun Tok Guru lantaran ilmu dan sijil serta ijazah bidang keagamaan itu bukanya tidak tahu membezakan diantara yang haq dan bathil tetapi akal fikir dan rasa rasa mereka terpedaya dan tertipu dengan perbuatan yang dilakukan. Sesungguhnya iblis dan syaitan telah berjaya menunjukan perbuatan yang buruk itu nampak baik dipandangan mata.

Sungguh Allah SWT memerintahkan untuk manusia itu membaca dan menyampaikan seruan untuk kembali kepada Allah dan Rasul dengan mengumandangkan Kalamullah, namun pastilah yang dibacakan itu untuk pertamanya kepada diri sendiri yang membacakan dan seterusnya disampaikan kepada manusia keseluruhanya. Pada Nabi Muhammad SAW itu terdapat suri tauladan didalam mengerjakan dan menyampaikan perintah dan meninggalkan larangan Allah melalui apa yang diwahyukan kepada Baginda. Sedemikian itulah juga sebenarnya menepati Sabda ‘Ulama ku Pewaris Nabi’ berperanan.

Tidak dapat dinafikan kedapatan Ulama Suuk disana sini ‘mengimarahkan agama’ dengan kepentingan nalurinya semata, sehinggakan maksiat dan kemungkaran tersangat berleluasa dengan sewenang wenangnya. Bersungguh sungguh didalam sidang pleno mengajarkan dan mengajak berjihad kepada Allah SWT, tetapi mereka sendiri terkebelakang untuk mempraktikan. Berapi api membicarakan bahawa pengorbanan kepada urusan agama akan beroleh kemenangan dan keberuntungan yang besar dari Tuhan, namun sebaliknya beliau sendiri takut terkorban! Mereka tentukan upahnya didunia ini dengan nilaian kertas namun berharapkan keberuntungan diakhirat. Sesungguhnya hanya Allah SWt yang Maha Mengetahu setiap apa yang nyata mahu pun yang tersembunyi.

“(Dengan) Itulah Allah memberi khabar gembira kepada hamba hambaNya yang beriman dan beramal salleh. Katakanlah : Aku tiada meminta upah kepada mu atas seruan ini, kecuali untuk berkasih sayang dalam kekariban. Barangsiapa membuat kebaikan, Kami tambah kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Pengampun lagi berterima kasih” [42:23]

Demikianlah diantara manusia itu mengatakan sambutan Maulidurrasaul 1432 sangat meriah daripada tahun sebelumnya, sebahagianya pula memberitahu nampak macam biasa sahaja dan ada diantaranya pula langsung tidak menyedari langsung tarikh keramat tersebut!

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang orang zalim berteman dengan sesamanya, sesuai dengan apa yang mereka kerjakan” {6:129}

Sekian, Wassalam

Selasa, 1 Februari 2011

KESEJAHTERAAN DARI ALLAH SWT

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


“Sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya. Mereka didalam syurga yang penuh dengan kenikmatan, sungai sungai mengalir dibawahnya {09} Doa mereka didalamnya ialah :‘Shubhanakallahumma – Maha Suci Engkau, ya Allah Tuhan Kami’, dan salam penghormatan mereka ialah: ‘Salam – Selamat Sejahtera’. Dan penutup doa mereka ialah :‘Alhamdulullahhirobbi’lalamin – Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam’’ {10:10}


Demikian itu janji Allah SWT kepada hambaNya yang beriman dan bertaqwa dengan megerjakan kebajikan. Kehidupan duniawi sebenarnya adalah gambaran kehidupan diakhirat. Jiwa yang beriman, lisan yang benar dan tingkah yang baik ketika kehidupan diatas muka bumi sebagai sifat taqwa kepada Allah SWT, maka diakhirat akan merasai kenikmatan yang tiada terhingganya balasan dari Tuhan. Demikian itulah yang disebut sebagai kemenangan dan keberuntungan yang besar keatas hambaNya itu.


Namun sewaktu kehidupan didunia lagi sebenarnya hamba hamba yang kukuh iman, menjaga lisan dan baik tingkahnya sebagai lambang ketaqwaan, pasti tidak merasakan kegelisahan mahu pun kekecewaan didalam apa juga perujian dan permasalahan yang didatangkan oleh Allah SWT kepadanya. Bagi mengalami suasana gambaran FirmanNya ayat 10 diatas, pastilah sewaktu kehidupan diatas dunia ini hambaNya itu sudah memperlakukan yang sedemikian itu malahan merasakan sebahagian nikmat dari maksud doa doa tersebut itu.


“MAHA SUCI ALLAH”

Sesungguhnya tidak pernah berlaku kesilapan mahu pun Tuhan itu sengaja berbuat apa apa sahaja KehendakNya tanpa sebab dan musabab. Segala kejadian yang dijadikanNya tidak ada suatu pun yang sia sia melainkan pasti membawa manfaat dan nikmat kepada hambaNya yang dikurniakan akal tetapi hendaklah mahu memikirkan semua itu sebagai pelajaran dari Tuhan.


Seseorang yang beriman kepada Allah SWT dan mengerjakan perkara kebajikan dengan lisan dan tingkahnya merasakan perujian keimanan kepada ketaqwaannya kepada Allah apabila ditimpakan musibah atau malapetaka keatasnya. Pasti Tuhan akan mendatangkan perujian kepada barangsiapa yang mengaku beriman untuk menentukan ketaqwaannya kepada Allah SWT.


“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ‘kami telah beriman’ dan mereka tidak diuji?” {29:2}


Pastilah dengan kekuatan iman akan bertambah kukuh ketaqwaan dengan bertambahnya pekerjaan kebaikan dan kebajikan yang dikerjakan tanpa ia berputus asa daripada mengharapkan rahmat Allah SWT disetiap ketikanya. Hanya kepada Allah SWT dia berserah diri (tawakkal) tanpa meletakkan penggantungan untung rugi nasibnya kepada suatu pihak lain.


“Katakanlah : aku tidak kuasa menolak mudharat mahu pun mendatangkan manfaat kepada diri ku, kecuali apa yang Allah kehendaki” {10:49}


Kehidupan yang menjadi miskin dan fakir dengan mengutamakan rezeki yang halal tanpa mendahulukan hawa nafsu serakah dengan melampaui batas batas haram ketentuan Tuhan adalah satu kemenangan dan keberuntungan buat diri kerana telah tidak berbuat dosa kepada Tuhan. Sesungguhnya diakhirat Allah akan membalasi dengan kemenangan dan keberuntungan yang lebih besar.


Kebanyakkan manusia itu selalunya akan berkata ‘Maha Suci Allah’ apabila melihat sesuatu perkara atau benda yang pelik dan ajaib, namun begitu itu pun benar adanya! Sebaliknya mengapa manusia itu bagai tidak percaya Maha berKehendak lagi Maha Berkuasa Allah SWT, malahan sehingga bagai menyalahkan Tuhan apabila ditimpakan masalah dan musibah. Sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Tuhan seolah dipertikaikan dengan merasakan Tuhan telah bersikap zalim kepadanya.


“SALAM – SELAMAT SEJAHTERA”

Allah SWT tidak bersifat zalim, sesungguhnya Maha Suci Allah dari sebarang kesilapan mahu pun setiap perkara yang baik dan jahat itu dijadikan itu sia sia! Bagi manusia yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, dijanjikan KESEJAHTERAAN kehidupan didunia dan diakhirat. Namun demikianlah fitrah manusia yang mahukan kesejahteraan dunia dan akhirat, namun sambutlah Salam dari Tuhan terlebih dahulu!


“Salamunqaulanmirrobbirrohim –Salam Sejahtera Ucapan Selamat dari Tuhan Pencipta yang Maha Kekal Kasih SayangNya” {36:58}


Sesungguhnya manusia itu sendiri yang menazalimi dan menganiayai dirinya sendiri apabila petunjuk dan rahmat Allah SWT yang menjamin kesejahteraan tidak diendah dan tidak diperdulikan. Apabila didatangkan seorang manusia dikalangan mereka yang membaca dan menyampaikan al Quran, mereka menolak dan menjadi penentang pula. Pastilah Allah SWT mendatangkan musibah sebagai balasan namun hendaklah dijadikan pengajaran agar segera insaf dan bertaubat. Sekiranya berlanjutan didalam kekufuran kepada Kalam Tuhan yang dibacakan, sudah tentu berada didalam sentiasa diselaputi dosa dan akan menerima azab yang sangat pedih diakhirat kelak.


‘ALHAMDULILLAHI ROBIL’ALAMIN”

Sesungguhnya Maha Suci Allah dengan karuniaNya KESEJAHTERAAN kepada hambaNya yang beriman jiwanya, lisan yang benar dan mengerjakan kebajikan ketika kehidupan diatas muka bumi dengan menzahirkan puji pujian hanya kepada Allah SWT, Tuhan alam semesta. Puji pujian kehadrat Illahi menjadikan manusia itu sekerdil kerdil insan ciptaanNya, tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Tuhan dengan sebenar benar taqwa, Maka timbul rasa kesyukuran dan terima kasih kepada Tuhan dari hambaNya diatas setiap kurniaan dari Tuhan.


“Dan ingatlah ketika Tuhan mu memaklumkan : Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka pasti azab Ku sangat berat” {14:7}


Walau pun sebenarnya tanpa pujian itu; Allah SWT tetap Terpuji, jika pun manusia itu tidak bersyukur kepadaNya; sesungguhnya Allah itu tidak sedikit pun berkurangan keAgonganNya. Begitulah juga, terdapat manusia yang mendapati dirinya sentiasa didalam senang lenang sehinggakan terlupa kepada Bijaksananya Allah SWT bahawa kesenangan tersebut juga merupakan perujian dariNya. Sekiranya manusia itu terus terleka dan alpa dengan kesenangan dan kekayaannya itu sehingga dijadikannya sebagai Tuhan. Mereka yang tanpa rasa kesyukuran kepada Allah SWT diatas kesenangan dan kekayaan yang dimiliki itu, sesungguhnya ia berada didalam kesesatan yang nyata selamanya.


“Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah hanyalah berhala berhala dan kamu membuat kebohongan. Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepada mu; maka mintalah rezeki dari Allah dan sembahlah Dia, dan besyukurlah kepadaNya. Hanya kepadaNya kamu dikembalikan” {29:17}


RUMUSAN dari segalanya adalah peringatan dan pelajaran terutamanya adalah untuk diri sendiri dan selebihnya disampaikan kepada manusia yang berakal dan mahu memikirkan. Sesungguhnya hamba Tuhan yang digarapNya didalam surga Aden itu adalah sewaktu didunia kehidupannya beriman jiwanya, berkata yang benar lisannya dantingkahnya mengerjakan kebajikan dengan sebenar benar ketaqwaan kepada Allah SWT yang bersesuaian dengan kententuan dan tuntutan Allah SWT didalam Kitabullah, al Quran nulKareem.


“Kitab (al Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa” {2:2}


Sesungguhnya al Quran itu adalah khabar gembira kepada yang beriman dan satu peringatan takut kepada yang engkar. Penghujung pembicaraan ini, dikumandangkan seruan mengajak manusia untuk kembali kepada Allah melalui KalamNya kerana hanya dengannyalah membawa pertemuan dengan yang Empunya Kalam tersebut. Sungguhlah Allah Maha Suci dengan kurniaan kesejahteraan kepada fitrah manusia itu dengan al Quran dan kepadaNyalah dipanjatkan kesyukuran puji pujian. Kepada yang sudah seiringan, teruskanlah berkalam dengan Kalam Tuhan; kepada yang masih dalam keraguan, sahutlah salam dan jabatlah tangan untuk bersama bergandingan. Sesungguhnya Allah Maha Suci dan sambutlah ucapan selamat sejahtera dari Tuhan. Amin, amin, amin, ya muji basa ilin, ya Robal’alamin.