IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Selasa, 10 Ogos 2010

RAMADHAN OH! RAMADHAN


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِي


‘Hai perut, berlaparlah kerana aku sedang berpuasa!’ ‘Hai tekak, haus dan dahagalah, kerana aku sedang berpuasa!’ ‘Hai hati, jangan kamu berdengki atau iri hati, kerana aku ini sedang berpuasa!’ ‘Hai akal fikir, usah kamu berangan angan kosong, kerana aku sedang berpuasa!’Hai perasaan, tidaklah kamu boleh marah, kerana aku ini sedang berpuasa!’ ‘Hai nafsu, mengapa kamu bergelojak, kerana aku ini sedang berpuasa!’ ‘Hai hati, mulut …, Hai mata …, Hai telinga …, Hai hidung …, dll/dsbnya!

Beberapa Sabda Nabi Muhammad yang berkaitan :- (i) "Kebanyakan manusia itu berpuasa, akan tetapi hanya mendapatkan rasa kelaparan dan dahaga” (ii) "jika kamu sedang puasa, maka jangan berkata keji, dan jangan marah dan jika ada orang memaki atau mengajak berkelahi, hendaklah diberi tahu : aku sedang berpuasa."

Disebutkan, bahawa puasa itu menahan diri dari lapar dahaga sebagai mahu menginsafi mereka mereka yang fakir dan miskin kelaparan. Jiwa raga tidak boleh melakukan segala galanya yang dikatakan berupa kemaksiatan dan kemungkaran kerana mahu mendidik hati nurani agar bersih dan suci! Amalan kebaikan dan kebajikan hendaklah diperbanyakan termasuk Solat Tarawikh dan bertadarus al Quran. Sekiranya dilaku juga perkara yang dilarang itu maka batal puasa dan tidaklah mendapat ganjaran dan pahala berlipat ganda serta kemenangan (idul fitri) yang dijanjikan oleh Allah SWT! Sedemikian itulah yang diajarkan oleh mereka yang berpengetahuan tentang agama dan sudah menjadi amalan temurun nenek moyang terdahulu sehinggalah kesekarang, iaitu Syariat Fizikal Puasa

Pemerhatian kepada Syariat Fizikal Puasa itu menjadikan manusia berlumba lumba mengerjakan amalan seperti diatas sehinggalah tampak keIslaman masing masing sebulan penuh Ramadhan tersebut. Manusia itu sangat berjaga (berhati hati) didalam perkara ini. Sesungguhnya kepada Allah, pastilah tidak memadai dengan kerja fizikal semata apabila manusia itu mengabaikan Syariat Rohani Puasa itu. Disamping perlakuan Syariat Fizikal, Allah sangat mengutamakan Syari'at Rohani Puasa yang dikerjakan oleh hamba hambaNya. Kerana melalui rohani itu merupakan kenyataan diri yang sejati, sehingga kita diwajibkan untuk berkata jujur, berhati bersih, jernih, dan tidak memperturutkan hawa nafsu yang selalunya hanya berkecenderungan membawa diri kedalam hina, nista, noda dan dosa.

Syariat Rohani Puasa ini dimengertikan Hakikat Puasa. Jika mengerti hakikat puasa ianya adalah kembali kepada kesedaran diri sejati, maka akan memasuki kesedaran baru yaitu kesedaran ruh suci seperti bayi. itulah kesejatian diri, itulah diri yang hakiki yang tidak pernah bohong, yang sebenarnya hanya selalu akan mengikuti Kehendak Ilahi. Sekiranya menyedari sebagai ruh yang suci (fitrah), maka perilaku manusia itu akan sesuai dengan fitrah Allah, yaitu tunduk patuh kepada tuntunan dan tuntutan Allah SWT melalui Kalam KalamNya. Demikian itu tujuan puasa, yakni kembali kepada fitrah manusia sejati sebagai hamba Tuhan.

Seperti ditahun tahun terdahulu; Ramadhan kali ini juga kelihatan sangat jelas manusia itu memang bersungguh sungguh bergembira menyambut kedatangannya kerana bagi mereka PESTA SUDAH BERMULA! Turutan kalendarnya sudah sampai untuk pesta selama dua bulan setengah berturut daripada 15 Syaaban sehingga menjangkau ke 30 Syawal! Ada diantaranya sudah mula shoping pakaian dan perabut rumah termasuk baik pulih dan mengecat. Shoping complex sudah warwarkan jualan murah dan TV sudah mula merakamkan suasana pesta untuk disiarkan. Mereka yang berada dan kaya sudah booking untuk berbuka malah bersahur dihotel lima bintang. Semasa kelaparan diwaktu siangnya kononnya mahu menginsafi nasib fakir dan miskin, tetapi apabila sewaktu berbuka puasa mereka mengikut nafsu serakah sepuas puasnya! 15 Syaaban, sebenarnya adalah Hari Nisfu Syaaban (lihat pengertianya dibawah) sudah menjadi tanda bermula Hari Bermula Ikut Nafsu!

“Wahai orang orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa (2:183)’

Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan orang orang beriman itu berpuasa dibulan Ramadhan. Sehari pertama hingga sebulan penuh Ramdhan dengan Syariat Fizikal dan Syariat Rohani, sesungguhnya pastilah peningkatan ketaqwaan kepada Allah yang dapat dirasakan. Selama sebulan digembeleng jiwa untuk memunculkan rasa jati diri yang selalu mengajak kepada kebaikan dan kebajikan berterusan sesudah Ramadhan sehingga ke Ramadhan yang akan datang. Jika hal ini berhasil iaitu jiwa raga pasti akan secara otomatis menjadi baik tanpa direka atau diada adakan oleh akal fikir dan perasaan keinginan. Peningkatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT terjadi dan berlaku. Maka terbebasnya diri sejati dari pengaruh hawa nafsu syawat, sehingga dirayakan lebaran menjadi hari kemenangan iaitu Hari Raya Idul Fitri (Kemenangan Kembali Kepada Fitrah) Sesungguhnya usah dibicarakan bagaimana manusia hari ini menyambut Idul Fitri, kerana ………….!!!

Sesungguhnya bukan dengan berpuasa itu manusia menjadi beriman, kerana berimanlah terlebih dahulu maka datang perintah berkewajiban berpuasa lalu bertambah kuat keimanan itu kepada yang sedia di imani tersebut. Seperti itu manusia terdahulu diperintahkan Allah SWT untuk berpuasa melalui KalamNya dengan perutusan seorang RasulNya, dan sedemikian juga diperintahkanNya kepada kamu pada hari ini pastilah melalui pertusan yang serupa. Namun, manusia itu apabila diajak terlebih dahulu beriman kepada Kalam Tuhan, pastinya menjawab ‘sudah beriman’ dan lantas berpuasa mereka pada hal sekadar ikut ikutan. Apabila dibacakan Kalam Tuhan dan keterangan Ayat AyatNya, mereka tidak mahu beriman (percaya) malahan menentang pula.

Sebenarnya manusia itu mahu terus terusan berpegang kepada tradisi nenek moyang. Amalan berpuasa sekadar ikut ikutan tetapi Ruh Ramadhan yakni turunnya al Quran itu didalam bulannya langsung tidak mendatangkan kesan disanubari mereka. Nuzul al Quran hanya sebagai cuti sehari dari kerja yang diberikan pemerintah! Tampak saban malamnya manusia itu membaca al Quran yang disebut bertadarus, dimana sehingga diakhir Ramadhan mampu khatam 30 juzuknya. Membaca dengan lunak merdu suara dan penuh syahdu sehingga menangis di dinihari walaupun tidak mendapat sedikit pun pelajaran dari Kalam Tuhan yang dibacanya. Sesungguhnya perlakuan tersebut sekadar berolok olok dan didalam sedang berpuasa itu, manusia jelas menjadi seseorang yang penipu dan pendusta!

“Mereka hendak menipu Allah dan orang orang yang beriman, pada hal mereka tiada menipu (orang lain) hanya diri sendiri tetapi mereka tiada sedar (2:9)”

Apabila jika disampaikan Kalam Tuhan bersama keterangannya, manusia itu berpaling namun tetap mengatakan diri mereka telah beriman dan mereka mengerjakan amalan puasa. Maka demikianlah, apabila jiwa dan raga tidak kembali kepada fitrahnya, maka Hari Raya Idul Fitri sudah semakin jauh menyeleweng pengertiannya. Kembali manusia kepada fitrah kehendak dan ketentuan Tuhan didalam selama sebulan Ramadhan untuk dibawa keadaan tersebut berterusan sehinggalah ke Ramadhan berikutnya. Bertambah kukuh dan kuat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Namun, pesta sebulan setengah itu adalah perkara laghro yang tidak lagi dapat dipisahkan dari manusia melainkan apabila dibacakan al Quran dan keterangannya mereka taat dan patuh dengan beriman kepadanya.

Sudah sampai seruan kepada manusia agar kembali kepada Allah dan RasulNya, bersama sama Kalam Kalam Tuhan yang dibacakan dengan keterangannya. Janganlah amalan puasa dan fadhilat Ramadhan menjadi satu pekerjaan yang sia sia disisi Allah SWT sehinggakan membawa kepada kemaksiatan dan kemungkaran yang berpanjangan didalam kehidupan didunia dan diakhirat mendapat siksa azab yang pedih. Tiada siapa yang dapat memberikan pertolongan termasuk kononnya pahala dan ganjaran amalan dan peribadatan yang dukumpulkan. Sedemikian itu, bersegeralah menyahut seruan daripada yang menyampaikan Kalam Tuhan!

“Maka hadapkanlah wajahmu kepada agama (Allah), serta condong kepadanya. Itulah agama Allah yang dijadikanNya manusia sesuai dengannya. Tiadalah bertukar perbuatan Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui (30:30)’

Ramadhan turunnya al Quran, sesungguhnya kepada orang orang yang beriman, berpegang sentiasa kepada Kalam Tuhan, sepanjang kehidupannya ialah Ramdhan dan berpuasa fizikal dan rohaninya itu adalah untuk Tuhannya!

***

Pengertian Nisfu Syaaban

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima belas Syaaban iaitu siangnya empat belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

“Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir Baginda telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafan Mu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaan Mu daripada kemurkaan Mu dan aku berlindung kepada Mu daripada Mu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapaMu seperti kamu memuji diri Mu sendiri.”

Setelah Baginda SAW selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datag kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap oran orang yang dengki.”

Hari Nisfu Sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 Sya’aban sebaik sahaja masuk Maghrib)

“Hai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah akan memperbaiki amalan mu dan mengampuni dosa mu. Barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasulnya maka sesungguhnya ia telah menang dengan kemenangan yang besar (33:70&71)”


Sekian, Wassalam daripada ayahIssa