IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Selasa, 18 Mei 2010

BICARA IMAM MUHAMMAD RADZI

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


PELAJARAN DARI TUHAN - ALLAH YANG MENGAJARKAN


Assalamualaikum wmwb


Sesungguhnya aku bagi kamu adalah pemberi peringatan yang nyata. Tidak ada sebarang yang lain hanyalah kenyataan dari kalam Tuhan yang aku katakan kepada sekalian manusia. Aku juga sebenarnya nyata berada dihadapan kamu sekarang ini menyampaikan seruan khabar gembira kepada yang beriman dan peringatan takut kepada yang engkar hanyalah semata dengan kalam Tuhan. Marilah beriman kepada Allah dengan ayat ayatNya tanpa ada sebarang keraguan maupun kesangsian lagi.


“Katakanlah : Jika kamu mengasihi Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa mu. Dan Allah Pengampun lagi Penyayang. Katakanlah : Ikutilah Allah dan Rasul, jika kamu berpaling, sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang orang kafir (3:31&32)"


Mudah bagi manusia mengatakan cinta dan kasih kepada Allah dan RasulNya, namun apabila aku bacakan kalamNya, mereka berpaling tidak mahu mengikuti malah menentang didalam hatinya, malahan lebih dari itu ada yang menyuarakan dengan lisannya termasuk dengan pebuatannya sekali gus! Kepada Allah SWT, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang kamu dzahirkan maupun apa yang kamu sembunyikan. Allah menjanjikan kepada yang beriman akan beroleh keberuntungan, kepada yang engkar pasti akan mendapat azab yang pedih.


“Kami tiada menurunkan Kitab kepada engkau melainkan supaya engkau terangkan kepada mereka hal hal yang mereka perselisihkan dan untuk petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman (16:64)


Keterangan dari ayat ayatTuhan itu hanyalah Allah yang memberikan pelajaran dan pemahamannya. Aku sekadar menyeru dan mengajak, berimanlah kepada Kitab al Quran ini maka pasti kamu akan mendapat petunjuk dan rahmat dari Allah SWT. Mudah bagi manusia mengatakan beriman kepada Tuhan namun apabila aku bacakan ayat ayatNya kamu memberikan pelbagai alasan menurut akal fikiran mu semata, sehinggakan timbul perbalahan. Kamu sebenarnya hanya berbalah dan menentang Allah SWTkerana kufur kepada ayat ayatNya.


Aku ingin mengajak kamu kali ini mengambil pelajaran dan kefahaman dari Tuhan kepada peristiwa penangkapan beramai ramai dikalangan Ikhwan oleh pihak berkuasa agama dalam negeri baru baru ini.


Pihak berkuasa agama sebenarnya menyalahkan kita lantaran berasakan hanya mereka yang layak membicarakan urusan agama ini. Undang undang karangan mereka dikuatkuasakan iaitu barangsiapa mahu membicarakan urusan agama mestilah dahulu mendapat kebenaran atau pun kelulusan dari mereka. Sangkaan mereka petunjuk dan rahmat Tuhan itu didatangkanNya melalui jabatan dan jawatan yang mereka memegangnya. Mereka menyanggah Allah Yang Maha Berkehendak melakukan apa sahaja dengan kekuasaanNya termasuklah mahu memberikan petunjuk dan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.


“Jika Allah timpakan kemelaratan kepada mu, tiada siapa dapat menghilangkanya melainkan Dia. Dan jika Dia hendak mendatangkan kebajikan kepada mu maka tiada pula yang dapat menolak kurniaNya itu. Dia memberikan kebajikan kepada siapa yang dikehendakiNya diantara hamba2Nya dan Dia Maha Pengampun Lagi Penyayang (10:107)


Mereka mengatakan beriman kepada Allah dan menjalankan tugas untuk menjaga kesucian agama ini tetapi telah membuat serbuan dan menangkap Ikhwan kita yang sedang berwasiat dan berpesan pesan dengan kebenaran al Quran! Perhatikanlah Surah al ‘Ashr 103 dan Sabda Rasulullah SAW ‘Katakanlah yang benar walau pun sepotong ayat’ telah dihalang oleh mereka mereka yang kononnya menjaga agama namun sebenarnya telah kufur kepada Allah dan Rasulnya, apalagi dengan undang undang dan hukuman yang diguna pakai bukanlah ianya Perlembagaan Allah SWT.


“Dan diantara manusia ada yang berkata : Kami beriman kepada Allah dan Hari Akhir. Padahal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang orang yang beriman. Mereka menipu Allah dan orang orang beriman, padahal mereka hanya menipu diri sendiri tanpa mereka sedar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu dan mereka mendapat azab yang pedih kerana mereka berdusta (2:8-10)


Sedia maklum, bahawa YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan tiada kes pendakwaan (digugurkan), Kitab al Quran yang dirampas dan wang jaminan diperintah dikembalikan dan Ikwan sebagai OKT dilepas dan dibebaskan! Betapa sebenarnya mereka tidak mampu meletakkan kesalahan kepada sesiapa yang membaca dan beriman kepada al Quran apa lagi mahu melemahkan Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya!?


Sesungguhnya bagi aku, kamu dan kesemua Ikhwan, ini adalah hanya sebagai ujian dan cubaan dari Allah SWT bagi mempertingkatkan darjat keimanan dan ketaqwaan kepadaNya. Itu juga sebenarnya adalah berupa saringan dari Tuhan untuk menentukan dikalangan kamu adakah bersedia dan tabah menghadapi dugaan dan sanggup mempertahankan keimanan dan ketaqwaan kepada Tuhan.


“Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan sahaja berkata : kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji?. Sesungguhnya telah Kami uji orang orang yang sebelum mereka, supaya Allah mengetahui orang yang dusta (dengan terang dan nyata) (29:2&3)


Urutan dari peristiwa itu, munkin dikalangan Ikwan ada yang berasa malu, dituduh pula sesat, difitnah menyeleweng dalam beragama sehinggakan keluarga, kawan kawan dan masyarakat telah memandang hina dan sehinggakan dipulaukan! Usahlah kamu hairan apa lagi untuk berasa dukacita kerana peristiwa seumpama telah berlaku dahulu, akan datang juga pasti berlaku dan sedang berlaku kepada kamu sekarang!


Nabi Muhammad SAW dituduh gila kerana membacakan wahyu wahyu Tuhan. Nabi Ibrahim dicampakkan kedalam unggun api yang marak, isteri dan anak mendurhakai Nabi Nuh AS, perhatikan Nabi Yusuf AS telah dipenjarakan kerana beriman dan menyampaikan ayat ayat Tuhan. Abu Bakar asSidiq tidak akan menafikan apa sahaja yang diperkatakan oleh Nabi SAW. Bilal bin Rabah disiksa dengan kejamnya kerana beriman kepada kalam Tuhan. Abdul Rahman Auf sanggup meninggalkan kekayaan dan kemewahan semata mata kerana beriman kepada Allah dan RasulNya.


Sebenarnya aku beserta kamu berada dilandasan yang betul dan benar kerana berkalamkan kalam kalam Tuhan pada waktu itu. Tiadalah yang sebenarnya benar selain dari kalam kalam Tuhan. Marilah bersama bersabar dengan ujian dan cubaan dari Allah SWT ini dan meyakini bahawa segalanya adalah sebagai tanda akan datangnya rahmat dan nikmat yang lebih baik bagi kita dariNya. Kepada Allah kita bertawakkal kerana hanya Dialah Yang Maha Memelihara hambaNya yang beriman. Sesungguhnya tiada barang sedikit pun rasa ketakutan kepada undang undang purba karangan manusia itu melainkan hanya berlindung kepada Tuhan Yang Maha Melindungi.


“Sesungguhnya orang orang yang beriman adalah mereka yang disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat ayatNya kepada mereka bertambah imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal. (Iaitu) orang orang yang melaksanakan sholat dan yang menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Mereka itulah orang orang yang benar benar beriman. Mereka akan memperolehi darjat (tinggi) disisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia (8:2-4)


Aku tidak melihat kegoncangan dihati kamu, apa lagi berasa ragu namun sekiranya terbit rasa keliru maka ambil pelajaran dan kefahaman Tuhan dari peristiwa tersebut. Aku menyeru kepada diri ku sendiri dan kamu semua, teruskanlah beriman dan membaca al Quran, sesungguhnya Allah pastilah akan mengajarkan kefahaman. Teruskanlah memberikan khabar gembira dan peringatan kepada manusia dengan kalam kalam Tuhan. Pastinya dugaan dan cubaan mendatang namun ianya hanyalah ujian kepada kamu dari Allah SWT bagi mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan mu kepadaNya. Sesungguhnya janji Allah pasti benar bahawa kemenangan dan keberuntungan bagi mereka yang beriman.


Amin, amin, amin ya muji basa ilin ya Robbalalamin.
Wassalamualaikum wmwb.


('BICARA IMAM MUHAMMAD RADZI' kali ini adalah berkaitan peristiwa tangkapan beramai ramai Ikhwan oleh Jabatan Agama Negeri, yang mana telah diterbitkan sebanyak 6 Siri. Sila rujuk Siri (I) hingga (V) pada November 2009 dan Siri (VI) pada Januari 2010) – ayahIssa)