IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Isnin, 25 Oktober 2010

ASSALAMUALAIKUM, TUAN HAJI!


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


“Disana terdapat tanda tanda yang jelas, (diantaranya) makam Ibrahim dan siapa yang memasukinya (Baitullah) amanlah ia. Dan (diantara) kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji keBaitullah, iaitu bagi orang orang yang mampu mengadakan perjalanan kesana. Siapa yang mengingkari (kewajiban) haji, maka ketahuilah Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta” {3:97}


Sebenarnya anggapan kebanyakkan orang, mampu itu ialah ‘mampu biaya’ dan dizaman sekarang ini bisa menyampaikan seseorang itu ketanah suci bagi mengerjakan Rukun Islam Ke5 tersebut, maka ramai jua dikalangan manusia itu menganggap tidak berapa penting kerana disyaratkan ‘jika mampu’ untuk pergi. Ramai beranggapan kemampuan itu adalah wang kerana perbelanjaan untuk menunaikan haji kian bertambah banyaknya dari tahun ke setahun. Lalu sebahagian penganut agama Islam merasakan kemampuan menghadirkan diri di Baitullah diketika itu sebagai satu kesempurnan dirinya didalam beragama. Sehubungan itu, berlakulah orang menjadikan kemampuan biaya adalah satu tanda tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu kepada Allah SWT dan wajar mendapat kemuliaan dengan gelaran Tok Haji, Tuan Haji atau pun Pak Haji/Mak Haji!


Bagi sebahagian manusia hari ini, kemampuan biaya itu ialah menjurus kepada tahap keselesaan yang boleh dinikmati apabila berada ditanah suci sehinggakan barang siapa yang mampu untuk biaya lebih bolehlah menyewa hotel penginapan selangkah dua sahaja dengan Masjidil Haram! Tidak sesekali mereka akan absen bagi memperolehi pahala berganda sholat didalam masjid tersebut.


Dari Abu Harairah ra, katanya Rasulullah SAW bersabda “Sholat dimasjid ku ini lebih baik daripada sholat seribu kali dimasjid yang lain kecuali MasjidilHaram” {HR Muslim}


Para fuqaha menyebutkan mampu itu bukan semata biaya untuk pergi tetapi ianya menyangkut juga dengan biaya bagi tanggungan yang ditinggalkan, kesihatan dan kekuatan tubuh badan. Benarlah yang sedemikian itu. Melalui prasyarat ‘jika mampu’ ini, maka terdapat seseorang yang kaya dan berada sudah menunaikan haji sehingga 7 kali! Sebaliknya ramai dikalangan jutawan lagi hartawan tidak berkesempatan untuk menunaikan haji lantaran sibuk dengan bisnes, tetapi kalau bercuti akan melancong keluar negara. Alasan yang selalu didengar ialah ‘belum sampai seru’ untuk mengunjungi Baitullah!


Seorang ustazah pula didalam ceramahnya memberitahu, seseorang itu wajib memasang niat untuk mengerjakan haji, kalau dapat sekali pun jadilah seumur hidup, kalau pun tidak dapat tertunai juga namun pahala haji tetap diperolehi walaupun sudah meninggal dunia.Terdapat kesah hamba Allah yang miskin, bersungguh sungguh berjimat cermat didalam belanja dan menabung wang mengumpulkan biaya selama sepuluh tahun akhirnya berjaya ke Makkah. Lantaran umur sudah lanjut dan kesihatan juga telah uzur, beliau meninggal dunia sebaik sahaja turun dari kapal terbang di Jeddah.


Pernah didalam satu perbualan dikalangan intelek Islam yang leberal hanya menganggap satu keunikkan bila mana Baitullah menjadi tempat perkumpulan jutaan manusia dari seluruh jagat bila masa tibanya bulan Dzulhijjah. Mereka mengatakan perkumpulan jutaan ummat Islam itu sama sahaja dengan upacara yang dilakukan oleh agama Hindu di Sungai Ganga atau pun di Batu Cave ketika Thaipusam! Dikalangan pemuda dan pemudi pula apabila ditanya tempat yang diangan angankan untuk pergi apabila berpeluang, maka masing masing akan menjawab Paris, New York, London, Bali, Phuket dan sebagainya! Kalau ke Makkah tunggu last nanti, selepas sudah rata dunia dironda. Kalau sempat!


Seperkara yang perlu disentuh ialah sistem kuota kehadiran rakyat negara lain yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Umpamanya Malaysia diberi kuota seramai 35,000 pada tahun 2010. Malaysia menubuhkan Lembaga Tabung Haji yang berkuasa penuh bagi merealisasikan pemergian rakyat ke Baitullah, namun yang sering berlaku terdapat seseorang yang sudah mendaftar sejak sepuluh tahun masih menunggu tersenarai tetapi yang baru mendaftar tidak sampai 6 bulan tersenarai namanya untuk berangkat ke Makkah. Perkara ini berlaku kerana pihak Lembaga Tabuing Haji mengagihkan kuota dari Arab Saudi itu kepada VVIP dan VIP bagi menentukan jumlah dan sesiapa yang dinamakan untuk ke Baitullah. Barang siapa yang punya hubungan baik dengan VVIP atau VIP tersebut dapatlah untuk pergi walaupun sepatutnya senarai awal yang mendaftar terpaksa menunggu ketahun berikutnya! Terdapat seseorang itu menunaikan haji sehingganya sudah 5 kali, dan tahun ini sudah pun berangkat untuk kali yang ke6 kerana kedudukkan kuota yang istimewa tersebut. Seorang kenalan yang kaya raya dan punyaurusniaga dengan seorang menteri secara mengejut memberitahu beliau akan menunaikan haji tahun ini dengan kuota VIP, sedangkan Ramadhan yang lalu menyebut hendak ke Makkah mungkin 4 atau lima tahun lagi!


Ramai juga dari kalangan manusia yang mengerjakan haji lantaran niat kerana memperolehi sesuatu yang dihajatkannya telah tercapai sebaliknya apabila cita citanya kecundang maka niatnya ke Baitullah terbatal. Lain pula halnya kisah sepasang artis suami isteri yang telah membuat pengisytiharan bersara dari dunia glamour berkunjung ke Baitullah dan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan cahaya mata kerana masih belum punya zuriat walau sudah hampir 10 tahun berkahwin. Barangkali kerana zuriat yang ditunggu tunggu tidak juga mendatang, kini pasangan tersebut sudah bercerai dan masing masing kembali menjadi artis!


Sedemikian itulah ibadah haji bagi tanggapan kebanyakkan manusia! Dinukilkan dua kisah yang mungkin boleh menjadi iktibar kepada ummat.


PERTAMA : Di Padang Arafah, sembilan Dzulhijjah, pada separuh kedua abad pertama Hijriyah, ratusan ribu ummat berkumpul di sekitar Jabal Rahmah, Bukit Kasih Sayag. Setelah tergelincir matahari, terdengar gemuruh suara zikir dan do’a. Ali bin Husein, cicit Rasulullah SAW bertanya kepada sahabatnya, Zuhri: “Berapa ramaikah orang yang sedang Wukuf?”.


Zuhri menjawab: “Pada perkirakan aku, ada sekitar empat atau lima ratus ribu orang. Semuanya haji, menuju Allah dengan harta mereka dan memanggilNya dengan teriakan mereka”.


Ali bin Husein berkata: “Hai Zuhri, sedikit sekali yang haji dan banyak sekali teriakan”


Zuhri kehairanan, seraya berkata: “Semuanya itu haji, apakah itu sedikit?”


Ali meminta Zuhri mendekatkan wajah kepadanya, lalu cicit Rasulullah SAW itu mengusap wajah Zuhri dan memintanya untuk melihat sekelilingnya. Zuhri terkejut, kini ia melihat monyet-monyet berkeliaran dengan menjerit-jerit. Hanya sedikit manusia di antara kerumunan monyet. Ali mengusap wajah Zuhri kali keduanya, maka disaksikan babi-babi dan sangat sedikit sekali manusia. Pada kali yang ketiga, ia mengamati banyaknya srigala dan amat sedikitnya manusia. Zuhri berkata: “Bukti-bukti mu membuat aku takut. Keajaiban mu membuat aku ngeri”.


KEDUA : Seorang sufi bernama Abdulllah al Mubarak baru saja usai menunaikan ibadah haji. Dengan kemampuan mukasyafahnya, segera ia dikejutkan oleh perbincangan dua malaikat di depannya. Kedua malaikat itu sedang membicarakan para jamah haji tahun tersebut.


“Wah! banyak sekali jama’ah haji tahun ini. Mereka berbondong-bondong mendatangi rumah Allah. Menakjubkan!” kata malaikat yang pertama.


“Betul!” kata malaikat yang kedua sambil terus berkata, “Tapi haji mereka tidak satupun yang diterima di sisi Allah, kecuali haji seorang tukang sepatu di Baghdad” lanjutnya seraya menyebutkan ciri-ciri orang yang hajinya di terima tersebut.


Betapa kagetnya sufi tadi. Tentu saja ia merasa bahawa hajinya juga tidak diterima oleh Tuhan. Kerana terasa sangat gelisah dan ingin tahu, lalu ia bertekad untuk mencari tukang sepatu yang beruntung. Akhirnya ia mengetahui bahawa sebenarnya tukang sepatu itu tidak jadi menunaikan ibadah haji ke Mekkah pada tahun tersebut walau pun persiapan biaya sudah tersedia secara menabung bertahun tahun lamanya. Begitu disaat keberangkatannya ke Baitullah tiba, semua biaya untuk berhaji telah disedekahkan kepada tetengganya yang ditimpa musibah kebakaran rumah dan harta benda.


Kedua kisah tersebut sulit untuk dibuktikan kebenaran malahan mungkin pula hanya fiktif kerana terdapat beberapa versi penceritaan. Namun terlepas dari itu, sangat mengandung pesan moral yang amat luhur, yang boleh menjadi renungan kerana dalamnya ada kebenaran.


"Sembahyang mereka disekitar Baitullah itu lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan, maka rasakanlah azab disebabkan kekafiran mu" {8:35}


Demikian Allah SWT menyebut bahawa mengunjung Baitullah adalah kewajiban kepada yang berkemampuan, namun Allah itu Maha Kaya dan tidak memerlukan suatu apa pun dari alam dan seisinya bagi keKayaan dan keAgunganNya. Setiap kebajikan dan kebaikkan itu sebenarnya adalah manfaatnya kepada manusia yang mengerjakan. Sebarang perbuatan dan pekerjaan itu jika tiada manfaatnya kepada sipelaku maka sia sia dan merugilah segalanya baik didunia mahu pun diakhirat. Sesungguhnya bagi yang berakal dan mahu memikirkan bahawa apakah haji itu dan bagaimanakah haji itu, ambilah pelajaran …….


Sekian, Wassalam, ayahIssa