IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Khamis, 14 Oktober 2010

KEPUTUSAN ITU HAQ ALLAH


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang orang kafir (5:44)


Untuk melaksanakan sesuatu kerja dari yang sekecil kecilnya perkara hinggalah kepada yang sebesar besarnya urusan, pastilah manusia memerlukan keputusan bagaimana cara atau tindakan perlu serta sepatutnya didiambil. Sesungguhnya segala yang sedemikian itu sudah termaktub didalam al Quran nulKareem keputusan dari Tuhan sebagai ketetapan kepada manusia untuk mengerjakannya atau pun meninggalkan. Sedemikiannya menjadi sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai suri tauladan untuk contoh dan ikutan.


Kebanyakan manusia itu beranggapan bahawa ‘keputusan’ itu selalunya hanyalah melibatkan hukum, undang undang dan penghakiman didalam kes kes mahkamah semata. Sebenarnya ‘keputusan’ yang dimaksudkan oleh SWT ialah ketetapan Tuhan kepada hambaNya yang wajib ditaati dan dipatuhi, manakala ianya adalah mencakupi kepada segala aspek politik, ekomomi dan sosial manusia itu didalam kehidupan. Islam bererti berserah diri (taslim) kepada Allah SWT melalui tuntunan dan tuntutan KalamNya iaitu al Quran nulKareem. Jelasnya Islam ialah perhambaan sepenuhnya manusia itu kepada Allah SWT.


“Dijadikan terasa indah didalam pandangan manusia, cinta terhadap apa yang di inginkan berupa perempuan perempuan, anak anak, harta benda yang bertumpuk tumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia, dan disisi Allah jua tempat kembali yang terbaik (3:14)


Apabila membuat penelitian untuk bertindak keatas sesuatu perkara yang lain, manusia menuruti apa kata hati dan akal fikir. Tiada kemungkinan bagi manusia itu mentaati Allah SWT sebagai hamba Tuhan, sedangkan didalam tempoh waktu yang sama dia menjadi hamba kepada dunia kebendaan. Apabila manusia itu sentiasa mencari peluang yang dapat memberikan kekayaan dan kemasyhoran, manakala usahanya tertumpu mencari kepuasan dan kesenangan duniawi seperti wang ringgit serta harta benda dengan pelbagai cara termasuk melewati batas agama, asal saja memenuhi hasrat dan cita cita hawa nafsunya. Sesungguhnya mereka telah bertuhankan kepada kehendak hawa nafsu didalam kehidupan didunia ini.


“Dan jika kamu mengikut kebanyakan orang diatas muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan mu daripada jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya persangkaan belaka dan mereka hanyalah berbuat kebohongan (6:116)


Dikalangan manusia itu mengikuti dan mempertahankan apa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka turun menurun kerana tidak mahu melanggar adat dan budaya kaum dan bangsa. Malahan mereka mempercayai sesuatu yang buruk atau sumpahan akan berlaku musibah jika diabaikan. Mereka menyembah Tuhan nenek moyang, meskipun tiada sebarang keterangan tentang Tuhan berkenaan, sesungguhnya mereka sekadar ikut ikutan dari asal dan baka keturunan.


Didalam pondok perguruan dan pengajian pula, pengikut dan anak murid menjadi terlalu fanatik dengan pak syheikh atau tok guru dengan mempercayai jaminan untuk memasuki syurga Allah SWT diakhirat kelak. Seseorang pengikut yang mentaati tok guru diberikan kedudukan makam dan penganugerahan sebagai khalifah (dan gelaran lain) dengan bersyaratkan sesuatu dan amalan tertentu telah menjurus kepada perkara bida’ah yang diada adakan dan jauh menyimpang dari perintah serta larangan Allah SWT, malahan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah berbuat sedemikian.


Begitu juga terdapat manusia yang mempercayai bomoh dan dukun didalam rawatan perubatan bagi penyakit. Upacara tertentu yang berunsurkan khurafat berjaya mempengaruhi mereka sehinggakan maruah diri , wang serta harta menjadi tebusan kepada jin dan syaitan yang kononnya meresap dan merasuk kedalam jiwa sipesakit. Ayat ayat al Quran dijadikan jampi serapah sehingga melibatkan perkara karut marut tetapi disebut sebagai keajaiban.


Kebanyakan manusia itu pula akur membabi buta kepada pemerintah yang menjanjikan kekayaan, kemajuan dan kemakmuran hidup. Walau sebenarnya mereka ditipu sejak berzaman namun terus leka dan alpa dengan angan angan keselesaan hidup didunia. Kemajuan serta kecanggihan dari dunia luar dan tokoh tokoh ilmuan ideolog dijadikan sebagai contoh tauladan bagi kayu pengukur (dasar) kejayaan dan kecemerlangan.


Sebahagian dari manusia itu pula rela dalam terpaksa menjadi seorang pengampu dan pembodek walau sebenarnya terjajah dan ditindas lantaran takut dan gentar kepada penguatkuasaan undang undang yang lansung tidak menguntungkan mereka. Kepada orang orang yang berkuasa, berpangkat besar dan kaya raya dijadikan punca rezeki dan diletakkan periuk nasi mereka untuk dijaga. Sekiranya menjadi penentang, ditakuti kehidupan diri dan anak isteri akan menjadi susah dan payah.


“Apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami (kebenaran)? Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat jalannya (25:44)


Sesungguhnya binatang binatang ternakan itu paling tidak akan mendengar imbaun tuannya untuk masuk kedalam reban atau kandang apabila menjelang malam. Malahan binatang ternakan mahu pun binatang liar dan buas tidak juga melampaui batas batas ketentuan Allah keatasnya, bila mana lembu tidak mungkin akan menjadikan kambing mahu pun ayam sebagai makanannya. Gajah yang besar tidak pula rakus membaham binatang lain dan harimau pula tidak menjadikan daun atau buah sebagai santapannya apabila kelaparan! Begitu keputusan yakni ketetapan Allah SWT dan barangsiapa yang melanggarinya sesungguhnya mereka itu adalah orang orang yang telah melampauibatas ketetapanNya.


“Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, pada hal kepadaNya menyerahkan diri segala apa yang dilangit dan dibumi dengan suka mahu pun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan (3:83)


Barangsiapa yang mengambil keputusan selain dari yang digarapkan oleh Allah SWT melalui al Quran dan yang sudah pun menjadi sunnah Nabi Muhammad SAW, sesungguhnya mereka itu hanyalah mengikut kehendak dan telunjuk iblis, syaitan dan konco konconya sebagai tuan. Sunggulah manusia itu berada didalam kegelapan dan kesesatan yang nyata. Keengganan kepada kedua (Kitabullah dan Sunnah SAW) yang tersebut itu mermakna seseorang itu telah kufur kepada Allah adalah kafir (engkar).


Manusia itu sesungguhnya semua mempercayai adanya Tuhan dan apabila ditanyakan siapa Tuhan, pastilah manusia memberikan jawaban yang serupa iaitu : “Allah!!!” Padahal manusia itu semasa hidupnya telah mengujudkan beribu ribu Tuhan sebagai sesembahannya. Didalam pengakuan berTuhankan Allah Yang Esa, mereka sebenarnya memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan syahwat; menjadikan adat istiadat serta budaya nenek moyang, negara, kaum dan bangsa sebagai berhala; dan mengangkat pemerintah, tok guru serta ulama’ fasik, orang orang kaya, bomoh, dukun, tokoh tokoh ilmuan ideologi dan sebagainya dengan sifat sifat Allah SWT selaku penolong dan tempat berlindung. Sesungguhnya mereka itu hanyalah mengikut telunjuk dan kehendak iblis, syaitan dan konco konconya sebagai tuan.


Sesungguhnya tiadalah perbezaan diantara orang orang kafir itu dengan orang orang yang sekadar mengucapkan syahadah dimulut, tunduk bangkit bersembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa dari makan dan minum, membayar zakat dan mengerjakan haji sehinggalah keIslamannya itu hanyalah berserah diri dan memperhambakan jiwa raganya kepada Allah SWT. Tidak ada cara mahu pun jalan yang lurus dan benar itu selain dari ketetapan Tuhan didalam Kitabullah, al Quran nulKareem.


“Wahai orang orang yang beriman! Masuklah kedalam Islam secara keseluruhan (kaffah) dan janganlah kamu ikuti langkah langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu (2:208)


Tidaklah siapa pun jua diantara manusia mahu pun benda lain diatas muka bumi ini mampu membawa kepada Allah SWT selain daripada petunjuk dan rahmatNya melalui KalamNya. Tuhan sebagai sesembahan sebenarnya palsu dan segala amal ibadat hanyalah perbuatan yang sia sia malahan akan mendapat azab dari Allah SWT seandainya berpaling dan menentang kepada Ayat Tuhan yang sudah menyampai kepada kamu. Petunjuk jalan yang lurus untuk kembali kepadaNya sudah pastilah hanya dengan mengikuti yang Empunya petunjuk tersebut. Meniti diatas KalamNya pasti menyampai kepada yang Empnya Kalam. Sesungguhnya al Quran itu adalah khabar gembira kepada mereka yang beriman dan satu peringatan takut kepada yang engkar. Keputusan adalah haq Allah; ianya adalah ketetapan Tuhan didalam Kitab! Oleh yang sedemikian itu, sambut dan sahutlah seruan kembali kepada Allah SWT dan RasulNya melalui Kitabullah. Sedemikian itulah keputusan Allah SWT dan Dia adalah Pemilik haq segala keputusan itu!


Amin amin amin ya muji basa ilin ya Robbal’alamin. Wassalam daripada ayahIssa