IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Jumaat, 29 Julai 2011

RAMADHAN OH! RAMADHAN 1432H




بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِي



“Wahai orang orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”



Ramadhan menjelang lagi, seperti ditahun sebelumnya; jelas kelihatan manusia itu sememangnya tertunggu tunggu akan kehadiranya! Ramai manusia memang bersungguh sungguh bergembira menyambut kedatangannya kerana bagai PESTA SUDAH BERMULA! Benar! Pesta dua bulan setengah sudah bermula apabila turutan kalendarnya sudah tiba kepada 15 Syaaban sehingga menjangkau ke 30 Syawal! Ada diantaranya sudah mula berkira kira untuk shoping pakaian dan perabut rumah termasuk baik pulih dan mengecat. Shoping complex sudah warwarkan jualan murah dan TV sudah mula merakamkan suasana hiburan dan pesta untuk disiarkan. Mereka yang berada dan kaya sudah booking untuk berbuka malah bersahur dihotel lima bintang. Berlapar dahaga diwaktu siangnya kononnya mahu menginsafi nasib fakir dan miskin, tetapi apabila sewaktu berbuka puasa mereka mengikut nafsu serakah sepuas puasnya! 15 Syaaban, sebenarnya adalah bermula Hari Ikut Nasfu!



‘Hai perut, berlaparlah kerana aku sedang berpuasa!’



Sabda Nabi Muhammad SAW, "Kebanyakan manusia itu berpuasa, akan tetapi hanya mendapatkan rasa kelaparan dan dahaga”



Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan bagi orang beriman itu berpuasa dibulan Ramadhan. Sesungguhnya bukan dengan berpuasa itu manusia menjadi beriman, kerana berimanlah terlebih dahulu maka datang perintah berkewajiban berpuasa lalu bertambah kuat keimanan itu kepada yang sedia di imani tersebut. Seperti itu manusia terdahulu diperintahkan Allah SWT untuk berpuasa melalui KalamNya dengan perutusan seorang RasulNya, dan sedemikian juga diperintahkanNya kepada kamu pada hari ini pastilah melalui perutusan yang serupa. Namun, manusia itu apabila diajak terlebih dahulu beriman kepada Kalam Tuhan, pastinya menjawab ‘sudah beriman’ dan lantas berpuasa mereka pada hal sekadar untuk merasakan lapar dan dahaga



‘Hai tekak, haus dan dahagalah, kerana aku sedang berpuasa!’



Mampukah manusia itu sebermula sehari pertama sehingga sebulan penuh Ramadhan berpuasa dengan syariat rohani dan syariat fizikal bagi memperolehi peningkatan ketaqwaan kepada Allah SWT? Dapatkah dalam tempoh selama sebulan mengembeleng jiwa raga untuk memunculkan rasa jati diri dengan tidak makan dan minum disiang hari? Namun demikian jualah bagi manusia itu, apabila saban malamnya kebanyakan mereka itu membaca al Quran yang disebut bertadarus, dimana sehingga diakhir Ramadhan mampu khatam 30 juzuknya.



‘Hai perasaan, tidaklah kamu boleh marah, kerana aku ini sedang berpuasa!’



Sesungguhnya dapatlah mereka membaca dengan lunak merdu suara dan penuh syahdu sehingga menangis, namun yang sedemikian itukah yang dikatakan bagi orang beriman berpuasa!? Khatam sekadar membaca naskah al Quran sebulan tanpa memahami keterangan dan pengajaran. Sewajarnya tuntutan dan tuntunan Kalam Tuhan itu adalah untuk sepanjang kehidupan serta mencakupi aspek keseluruhan kehidupan itu sehingga akhirat. Sesungguhnya yang sebenar ialah sepanjang kehidupan itu adalah Ramadhan, yakni mengekang iblis syaitan dan hawa nafsu berlandaskan al Quran yang tidak akan khatam khatamnya seumur hidup!



‘Hai hati, jangan kamu berdengki atau iri hati, kerana aku ini sedang berpuasa!



Al Quran itu diturunkan oleh Allah SWT adalah sebagai petunjuk dan pengajaran kepada manusia agar kehidupan ini tidak terpesong mengikut langkah iblis syaitan dan hawa nafsu, maka kaitannya dengan berpuasa bagi tujuan latihan sekali gus mengekang tuntutan iblis syaitan dan hawa nafsu itu adalah jelas sekali! Bersyariat rohani terlebih dahulu kepada tuntutan Allah SWT melalui KalamNYA, maka di ikuti bersyariat fizikal, lalu jiwa raga akan sentiasa lepas dari kekangan iblis syaitan dan hawa nafsu! Maka terbebas diri sejati yang fitrah dari kemungkaran, lalu dirayakan lebaran sebagai hari kemenangan iaitu Hari Raya Idul Fitri (Kemenangan Kembali Kepada Fitrah)



‘Hai akal fikir, usah kamu berangan angan kosong, kerana aku sedang berpuasa!’



Sesungguhnya manusia terlupa bahawa al Quran Kalamullah sangatlah berkaitan dengan Ramadhan tersebut, dengan tanpa membicarakan kaitan langsung ini maka berpuasa itu tidak lagi terletak diatas tapak asasnya. Sebenarnya manusia itu mahu terus terusan berpegang kepada tradisi nenek moyang. Amalan berpuasa saban tahun sekadar ikut ikutan berlapar dahaga tanpa Ruh Ramadhan yang sepatutnya terlebih dahulu diyakini dan di ikuti. Ruhnya Ramadhan yang dimaksudkan ialah al Quran nulKareem! Sesungguhnya segala amal ibadat termasuk ilmunya adalah berlandaskan Kalamullah-Kitabullah, apa lagi berpuasa dibulan Ramadhan itu kerana al Quran itu sendiri turun dibulan tersebut, yang disebut Nuzul al Quran!



‘Hai nafsu, mengapa kamu bergelojak, kerana aku ini sedang berpuasa!



Manusia itu tidak berasa khuatir, walaupun sebenarnya dibulan Ramadhan ini sifat dan sikap pendustaan dan berolok olok ketika berpuasa itu tersangat ketara dilakukan. Kepada kebanyakan orang amalan berpuasa hanyalah adat budaya turun temurun dan bagi peniaga mengambil peluang mengaut keuntungan berlipat ganda. Mampukah berlapar dahaga itu untuk merasakan kepayahan dan kesusahan mereka yang miskin dan fakir, tetapi penganan untuk berbuka disediakan bertimbun timbun dihadapan mata sementara menunggu azan mahgrib bergema? Bagaimana pula dengan persiapan pakaian baru sedondon yang ditempah berpasang pasang dan rumah sudah dibaik pulih serta dicat baru beserta dengan perabut dan perhiasan baru sebelum lagi Ramadhan? Manusia berharap secara otomatis dirinya berhasil meraih kemenangan dan keberuntungan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan sekadar berada didalam bulan Ramadhan tersebut

Manakala bagaimanakah kedudukan serta peranan pemerintah negara yang menjadikan Islam itu sebagai agama rasmi didalam perlembagaan. Berjayakah kesucian agama itu dipertahankan dengan pembentukan skuad khas untuk menangkap orang orang Melayu daripada memasuki pusat pusat hiburan atau pun makan dikhalayak ramai disiang hari? Cukupkah memuliakan agama itu hanya dengan menganjurkan Majlis Tilawah dan mengisytiharkan satu hari cuti umum sempena Nuzul al Quran?



“Mereka hendak menipu Allah dan orang orang yang beriman, pada hal mereka tiada menipu (orang lain) hanya diri sendiri tetapi mereka tiada sedar”



Sesungguhnya Allah SWT itu bertepatan dengan menurunkan KalamNYA dibulan Ramadhan supaya manusia itu sentiasa berada didalam keadaan fitrahnya, iaitu suci bersih sentiasa! Sehubungan itulah semestinya menjadikan al Quran sebagai landasan kehidupan. Seperti yang disebutkan diatas, Allah SWT menjanjikan keberuntungan dan kejayaan dengan berhari raya. Persoalannya, apakah hari raya yang disambut itu menepati Kehendak Tuhan? Jawabanya memerlukan penilaian bagaimanakah hubungan al Quran dan Ramadhan itu sebagai berpuasa berjaya mengekang iblis syaitan serta hawa nafsu. Beriman kepada Kitabullah itu bukan sekadar membacanya sampai khatam, berpuasa itu bukanlah semata berlapar dahaga seperti adat dan budaya, manakalah idul fitri itu adalah suci serta bersih adanya!



“Maka hadapkanlah wajahmu kepada agama (Allah), serta condong kepadanya. Itulah agama Allah yang dijadikanNya manusia sesuai dengannya. Tiadalah bertukar perbuatan Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui”



Sesungguhnya kebanyakan manusia itu mengagamakan agama secara rekayasa, serta menduga duga keIslaman dengan rasa rasa, lalu berakal akal bersama ilmu fikir fikirnya, malahan terikut ikut beramal ibadat dan mengada ngadakan iman didalam dada, maka bersangka sangka taqwa didalam hati ...



Kepada orang beriman dengan al Quran itu didatangkan Allah SWT pengajaran sebagai pelajaran dariNYA. Ramadhan turunnya Kalamullah, al Quran nulKareem dan puasanya itu untuk Tuhannya



Selamat berpuasa!, (dan selamat berhari raya)



(Nota : Tajuk ‘SATU MESSAGE ......’ yang diterbitkan sebelum ini mungkin kita ulas sedikit masa lagi, itu pun tengok tengok le dulu!!!)