IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Jumaat, 21 Januari 2011

REZEKI YANG BERKAT DARI ALLAH SWT


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم



Selalunya manusia itu apabila berkaitan dengan berkah (berkat, barakah) menjuruskan kepada rezeki dan menilai disegi banyaknya keuntungan yang diperolehi. Sebaliknya mereka beranggapan tiada keberkatan daripada Allah SWT apabila rezeki yang mendatang itu sedikit sedangkan usaha yang dikeluarkan cukup banyak dan berlipat ganda, namun kepada kedua kedudukan tersebut manusia selalu terlupa dan tidak mahu bersyukur kepada Tuhan.


Kehidupan yang berkat itu sebenarnya akan sentiasa mencukupkan dan kecukupan itu membolehkan keberkatan didalam kehidupan. Apabila mempersoalkan amaun banyak atau sedikit, bererti manusia itu tidak pernah puas sehinggakan tidak tahu mereka bersyukur, maka tiadalah keberkatan dari Tuhan didalam kehidupan. Sesungguhnya segala yang dimiliki oleh manusia diatas muka bumi ini walau sebanyak mana atau sangat sedikit, mahu pun mungkin tidak punya suatu apa, sebenarnya segala itu adalah kurnia daripada Allah SWT.


“Sesungguhnya Allah yang Maha Luas KurniaNya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hambaNya dengan rezeki yang diberikan. Barang siapa yang redha dengan pemberian Allah, maka Allah akan memberkati dan melapangkan rezeki baginya dan barang siapa yang tidak redha nescaya rezekinya tidak diberkati” {HR Ahmad}


Nabi Muhammad SAW melalui Sabda Baginda diatas sekali gus menjelaskan bahawa keberkatan dari Allah SWT itu tidak ditentukan amaun banyak atau sedikit rezeki yang diperolehi. Keberkatan Illahi itu terletak diatas rasa keredhaan hamba Tuhan keatas apa sahaja bentuk mahu pun jumlah kurniaanNya. Sebaliknya rezeki itu sendiri merupakan perujian daripada Allah SWT kepada manusia sejauh mana mereka benar benar bertaqwa dan berserah diri kepadaNya.


“Wahai orang orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar benar takqwa kepadaNya, dan janganlah kamu mati melainkan dengan berserah diri” {3:102}


Allah SWT menggarapkan dengan jelas didalam FirmanNya, sesungguhnya keberkatan dariNya adalah bersangkutan sepenuhnya terhadap keimanan dan ketaqwaan sebenar kepadaNya. Jika manusia itu beriman dan bertaqwa kepadaNya, Allah SWT menjanjikan keberkatan yang tiada terhingga, sehingga tidak terduga datangnya dari petala langit mahu pun khazanah dari dalam perut bumi. Sesungguhnya keberkatan daripada Allah SWT itu mengatasi jumlah rezeki yang mungkin diperolehi.


Penjelasan selanjutnya adalah Allah SWT telah menetapkan garisan bahawa keberkatan terhadap kehidupan manusia diatas muka bumi ini akan berlanjutan sehingga keakhirat iaitu apabila Kalamullah, al Quran nulKareem itu menjadi ikutan dengan ketaatan dengan penuh keredhaan. Keimanan terhadap Kalam kalam Tuhan bukan sekadar pengucapan percaya tetapi adalah penyataan hati, ikral dan kerja buat yang mencakupi segala aspek kehidupan. Ketaqwaan itu sebenarnya ialah melakukan suruhan dan meninggalkan tegahanNyadengan rela dan redha! Keimanan dan ketaqwaan itu hanyalah bermula dengan keredhaan manusia terhadap tuntunan dan tuntutan Kalamulah, Kitabullah! Maka Tuhan menjanjikan kehidupan manusia didunia dan diakhirat akan sentiasa beroleh keberkatan Illahi dari rezeki yang dikurniakan dalam jumlah yang banyak mahu pun sedikit.


“Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (Ayat ayat Kami), maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan” {7:96}


Kebanyakan manusia itu tidak redha, apabila dibaca dan disampaikan Kalamullah, mereka menolak dan menentang. Mengaku beriman tetapi melahirkan pelbagai alasan rasa rasa bimbang didalam hati kehidupan akan menjadi susah dan payah lalu menolak Kalamullah sehingga mereka menjadi orang orang yang munafik dan fasik. Mereka menentang Ayat ayat Tuhan, menjidal dengan ilmu yang diakal akalkan oleh fikiran mengatakan Kalamullah tidak relevan malah akan membawa kemunduran kehidupan sehingga mereka menjadi orang orang yang musyrik dan kufur.


Sesungguhnya sseorang manusia yang tidak redha kepada Kalamullah, ianya tidak akan mendapat keberkatan Tuhan lantaran mendustai Kalamullah. Urusan kehidupan didunia hanya diliputi kekayaan dan kemewahan yang diselaputi penyelewengan, penindasan dan tipu mulihat. Mereka seperti berasa bahagia dan gembira dengan bergelak ketawa tetapi tiada merasakan kepuasan; kelihatan kaya serta mewah namun sentiasa tidak merasakan cukup dengan apa yang ada. Sedemikian itu mereka sentiasa didalam keadaan resah, kegelisahan dan bagai masa selalu suntuk dan takut tiada kesempatan mengejar urusan duniawi sehingga menjadikan mereka sentiasa bersikap rakus, tamak haloba serta sangat kikir dan kedekut dengan berkira kira untuk berbelanja kerana ketakutan kehabisan wang dan harta yang dimiliki.


“Dan ini (al Quran) adalah suatu peringatan yang mempunyai berkah yang telah Kami turunkan. Maka mengapakah kamu mengingkarinya” {21:50}


Sehubungan itu, maka jelaslah bahawa rezeki yang termulia dengan penuh keberkatan dari sisi Allah SWT kepada manusia itu yang sebenarnya adalah Kalamulah, yakni al Quran nulKareem, Kitabullah! Sesungguhnya penerimaan manusia penuh keredhaan terhadap Kalamullah itulah yang membawa keberkatan daripada Allah SWT kepada kehidupan manusia itu dari dunia hingga keakhirat. Tiada keredhaan bermaksud keingkaran manusia kepada Kalamullah, maka bererti tiadalah keberkatan Allah SWT disepanjang kehidupan manusia didunia sampailah keakhirat.


Sehubungan yang sedemikian itu, maka kumandanglah Kalam kalam Allah SWT diatas muka bumi, dibaca dan disampaikan kepada keseluruhan manusia. Diatas rasa keredhaan kepada Kalamullah sebagai rezeki termulia daripada Allah SWT yang penuh keberkatan Illahi, maka itulah infak kepada jihad fisabilillah yakni menegakan Kalimat Tuhan diatas muka bumi sehingga akhirat.


Urusan duniawi ini hanyalah seperti meminum air laut, semakin banyak diminum semakin bertambah terasa haus dan dahaga, sehingga tidak mencukupi dan tiada kepuasan. Sedemikian itu juga kefardhuan manusia kepada urusan yang membawa kehidupan akhirat kelak, maka Allah SWT menurunkan al Quran itu sebagai petunjuk dan rahmat daripadaNya buat manusia itu agar mendapat peringatan takut dan khabar gembira. Kalamullah itu tuntunan dan tuntutan Tuhan untuk mengimbangi kegiatan kehidupan manusia itu agar berada didalam keberkatan dariNya sentiasa. Sejauh mana manusia itu menerima dengan penuh keredhaan Kalamullah, maka disitu keberkatan dari Allah SWT terhadap keimanan dan ketaqwaan kepadaNya.


Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepadaNya niscaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar dariNya dan limpahan karuniaNya. Dan menunjuki mereka kepada jalan (shirath) yang lurus kepadaNya” {4:175}

Amin amin amin ya muji basa ilin ya Robbal’alamin. Sekian, Wassalam.