IKHWANnul MUSLIMINnawalMUSLIMAT

Selasa, 25 Ogos 2009

MOTIVASI RAMADHAN - al Quran nulkareem

KEHEBATAN al Quran tidak ada tandingannya, kerana ia mampu mengubati hati insan yang berdukacita dan gundah gulana serta membersihkan hati nurani yang diselaputi dengan hasad, dengki dan iri hati. Banyak kisah dizaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a menjadi pengajaran buat umat terkemudian. Sehubungan itu Ibn Umar r.a mengatakan ' Sesiapa yang mencari teladan, hendaklah meneladani genarasi yang terdahulu, iaitu para sahabat Rasulullah saw ' Mereka generasi terbaik umat ini, hati mereka lebih bersih dan mudah tersentuh dengan al Quran, ilmu mereka lebih dalam dan mereka amat jauh dari sikap berlebih lebihan.

Rasulullah saw sangat mencintai wahyu. Baginda sentiasa menunggu turunnya ayat ayat Allah S.W.T dengan penuh kerinduan. Sehingga bila diwahyukan suatu ayat, maka tidak terasa bibirnya segera bergerak gerak meniru ucapan Jibril a.s sebelum wahyu itu selesai dibacakan. Sehingga Allah menurunkan ayat yang menjamin Nabi s.a.w akan hafal seluruh al Quran dan memerintahkan baginda sabar mendengarkan dahulu,sampai ayat tersebut selesai dibacakan kemudian mengikutinya. (sila rujuk
Surah al Qiyamah 75:17-18)

Hal ini begitu membekas dan sangat mempengaruhi para sahabat r.a dan juga para salafus soleh sehingga mereka mencurahkan perhatian yang sangat mendalam kepada ayat ayat al Quran, bagai menjadikan satu perintah untuk sedemikian. Apabila dibacakan dan mendengar ayat ayat Allah maka gementar hati mereka, diam hingga tidak berkata apa apa.
Mengimani al Quran adalah membaca dengan benar dan betul, memahami dan menjadikan sebagai perlembagaan dan sumber hukum dalam segala segi aspek kehidupan.

Kitab suci ini diturunkan Allah SWT kepada nabi Muhammad saw sebagai dalil menerangkan kebenaran, pedoman dan pengajaran kepada manusia sejagat. Baginda sebagai seorang yang ummiy, tidak pandai menulis dan membaca diajarkan oleh Allah al Quran.Ditegaskan Allah melalui surah al Baqarah ayat 185, menghubungkaitkan al Quran dan Ramadhan - masa yang diwajibkan berpuasa itu ialah dibulan Ramadhan yang padanya diturunkan al Quran, menjadi petunjuk dan keterangan antara haq dan batil. Merujuk kepada maksud firman Allah dalam surah al Maa-idah 5:15 " Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran dari Allah, dan sebuah kitab yang jelas nyata keterangannya. 5:16 " Dengan (al Quran) itu Allah menunjukkan jalan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka daripada gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka kejalan yang lurus "

GENERASI SEKARANG merelakan diri untuk terus tidak memahami kandungan al Quran apa lagi untuk mempelajari hukum bacaan, tajwid, taranum dan sebagainya. Beriman kepada al Quran secara separuh sahaja dan meninggalkan separuhnya malahan mempertikaikan pula dengan lantangnya jika sebahagian itu tidak bersesuaian dengan citarasanya. Bukan susah untuk mencari sorang sorang yang langsung tidak tahu membaca al Quran - huruf pun tak kenal apa lagi bunyinya! Banyak aktiviti kehidupan lari jauh dari pengaruh al Quran malahan sengaja dihindarkan. Nampak jelas sengaja mahu perpaling dari al Quran kerana pentingkan duniawi semata dan telah meninggalkan akhirat sama sekali.

Siapa yang bersalah? Yang bersalah tetaplah bersalah dan yang patut disalahkan sewajarnyalah dipersalahkan! Kementerian, Jabatan, Majlis, Pertubuhan, dan Persatuan yang begitu Islamik bunyinya, sungguh gah dengan tokoh dan ketokohan masing masing, sejauh mana telah berjaya dengan peranannya untuk membawa genarasi hari ini supaya mencintai al Quran? Bukankah banyak perkara dan aktiviti masing masing itu berjalan tanpa berpandukan al Quran. Banyak berlaku percanggahan dan penyelewengan dengan kehendak al Quran. Kenyataan kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh kepimpinan pula tidak menggambarkan betapa Islamiknya bunyi jawatan yang dipegang.
Mereka bagai takutkan sesuatu untuk menyampaikan yang haq apa lagi mengatakan yang bathil! Mereka takut kehilangan jawatan, pangkat, nama yang gah dan galamor, wang ringgit dan harta benda maka gagal dan kecundanglah objektif dan matlamat perjuangan. Hari ini jelas apa yang dilakukan atas nama agama Islam adalah dengan dasar tangkap muat, asal jadi, jangan tak ada plak,kononnya budaya dan sekadar ngaku ngaku aje!

Oleh yang sedemikian, sewajarnya semua pihak dan orang perseorangan perlu kembali berada diatas landasan al Quran lebih lebih lagi dengan kedatangan Ramadhan almubarak ini. al Quran dan Ramadhan amat berhubung kait - al Quran diturunkan didalam bulan Ramadhan dan hanya bulan Ramadhan yang disebut Allah didalam al Quran. Renung renung dan fikir fikirkanlah. Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan